Pengalam membaca buku kreatif (Kapten Hassan Wira Bangsa oleh Harun Johari)
Pada era pascaglobalisasi ini, tumpuan masyarakat telah beralih kepada peralatan-peralatan teknologi yang canggih untuk mengisi masa lapang. Akses kepada media sosial menerusi telefon bimbit telah membabitkan masyarakat untuk membazir masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak bermanfaat. Pada masa dahulu, masyarakat digalakkan membaca karya-karya kreatif untuk mengisi masa lapang dengan perkara yang bermanfaat kerana “Masa itu Emas”. Hal ini merupakan aktiviti yang sangat berfaedah kepada diri kerana ia miningkatkan ilmu pengetahuan serta mencungkil keinginan untuk membaca. Membaca merupakan suatu amalan yang sangat bermulia. Oleh yang demikian, saya mengambil kesempatan dalam entri kali ini untuk menceritakan pengalaman saya membaca sebuah karya kreatif. Karya kreatif yang telah saya baca adalah sebuah novel yang bertajuk “Kapten Hassan Wira Bangsa” oleh Harun Johari.
Kapten Hassan Wira Bangsa merupakan sebuah novel mengisahkan perjuangan seorang perajurit negara yang berjuang menentang keganasan komunis semasa zaman darurat di Malaysia sekitar tahun 1948-1960. Novel ini telah berjaya menyemaikan semangat patriotisme dalam jiwa sanubari saya. Hal ini kerana, ketika membaca saya telah meletakkan diri saya sebagai watak Kapten Hassan dan mampu merasai setiap cabaran yang beliau telah lalui semasa berjuang untuk negara kita. Saya berasa sungguh bangga dengan kejayaan beliau menggempur tempat perkhemahan komunis. Beliau berjaya membunuh 11 orang komunis dan menghentikan operasi komunis untuk memusnahkan upacara pengisytiharan merdeka negara tercinta kami. Membaca kejayaan beliau dalam perjuangan di novel ini hanya meningkatkan semangat patriotisme dan sikap cinta akan negara yang berkobar-kobar. Perasaan sayang terhadap negara Malaysia telah meningkat serta bangga dengan negara cinta. Hal ini telah membangkitkan semangat saya untuk menyumbang bakti kepada negara tercinta.
Selain itu, melalui pembacaan novel ini saya juga telah memupuk sifat keberanian dalam mengharungi cabaran hidup. Saya telah benar-benar merasai penderitaan watak Kapten Hassan dalam novel ini. Cabaran-cabaran yang beliau lalui adalah benar kerana kisah novel ini merupakan kisah asli seorang tentera bernama Hassan bin Haji Osman. Oleh yang demikian, segala cabaran yang dihadapi oleh beliau boleh juga berlaku kepada kita kerana ia merupakan cerita yang pernah berlaku. Semasa membaca bahagian cerita tersebut dimana Kapten Hassan mengetuai perang gerila di kawasan Waterfall Estet dan menumpaskan beberapa pengganas komunis, ia memberi satu keyakinan kepada saya bahawa keberanian boleh dicapai untuk mengharungi apa jua cabaran dalam hidup. Walaupun, mesej tersebut hanya daripada sebuah novel karya agung yang bersejarah, namun nilai yang ingin dicerapkan kepada pembaca adalah sangat relevan.
Di samping itu, setelah membaca novel ini, saya telah didedahkan dengan pelbagai jenis gaya bahasa yang terdapat dalam novel ini. Hal ini, telah meningkatkan cinta saya terhadap bahasa Melayu. Antara gaya bahasa unik yang digunakan adalah gaya bahasa simile seperti “ibarat gugurnya kuntum-kuntum melati yang mengharumkan nama nusa dan bangsa”, metafora seperti “debu derita” dan “ hujan tembakan”. Pelbagai simpulan bahasa juga telah digunakan seperti “iri hati”, “air muka” dan sebagainya. Tambahan pula gaya personifikasi juga telah digunakan seperti “bayang maut datang menerjah dari segenap penjuru”. Bahasa-bahasa indah ini yang digunakan dalam novel ini telah memartabatkan Bahasa Melayu dalam diri saya. Saya telah memperoleh ilham untuk lebih banyak membaca karya-karya kreatif seperti novel ini.
Kesimpulannya, membaca novel Kapten Hassan Wira Bangsa oleh Harun Johari telah menukar persepsi kehidupan saya untuk menjadi lebih patriotik serta lebih menghargai karya-karya kreatif yang dihasilkan oleh para penulis. Justeru itu, membaca juga merakan suatu amalan yang mulia yang berfaedah. Amalan membaca harus dipupuk dari kanak-kanak lagi. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Generasi muda masa kini harus didorong untuk membaca karya-karya kreatif supaya pengalaman-pengalaman yang berharga seperti pengalaman membaca saya ini boleh dinikmati oleh semua golongan masyarakat terutamanya generasi muda zaman ini.
Comments
Post a Comment