Anak Muda
Malaysia tanah air tercinta kami, didiami oleh pelbagai
kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Pembangunan dan perpaduan yang
dicapai di negara ini amat membanggakan, dimana pelbagai lapisan masyarakat
berushaha bersama dan saling bergantung antara satu sama lain, tanpa mengira
agama, bangsa dan kaum. Masyarakat Malaysia hidup bagai “aur dengan tebing”.
Walaupun, sudah 63 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, namun negara kita
masih membangun dan kuat bersaing di persada antarabangsa. Antara aspek yang
menyumbang kepada pembangunan negara yang drastik ini adalah golongan anak
muda. “Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara”. Inilah cogan kata yang
sering diungkapkan serta selalu meniti di bibir-bibir golongan pemimpin
tertinggi negara. Golongan anak muda pada zaman ‘dunia tanpa sempadan’ ini
merupakan penggerak kepada peningkatan dan pembangunan negara. Anak-anak muda
merupakan golongan yang akan memacu negara ke arah yang lebih moden dan maju
pada masa akan datang. Oleh yang demikian, anak-anak muda mempunyai peranan dan
tanggungjawab yang besar untuk membangunkan negara yang kita cintai ini.
Demi membangunkan negara yang kami cintai ini, anak-anak
muda berperanan dan mempunyai kewajipan untuk belajar bersungguh-sungguh bagi
memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan agar dapat memberi sumbangan kepada
negara pada masa akan datang. Anak muda yang berpelajaran mampu memberi
idea-idea yang bernas serta berkualiti dengan berfikiran kritis dan kreatif.
Pada masa ini, anak-anak muda harus berlumba-lumba menimba ilmu pengetahuan
dalam pelbagai bidang supaya dapat membina diri serta memajukan negara.
Anak-anak muda haruslah berfikiran terbuka dan dengan membuka minda
masing-masing kepada pengaruh luar yang baik serta yang wajar dicontohi. Mereka
harus mengaplikasikan pengaruh yang baik ini untuk pembangunan negara. Hal ini
merupakan usaha yang amat mudah dengan internet serta teknologi-teknologi moden
yang sudah pasti boleh dikendalikan dengan mudah oleh anak-anak muda zaman
kini.
Selain itu, anak-anak muda juga berperanan untuk menyokong
usaha-usaha kerajaan yang dijalankan demi membangunkan negara. Golongan anak
muda harus giat aktif dalam kempen-kempen dan usaha-usaha yang dianjurkan.
Kempen-kempen seperti kempen pencegahan dadah, kempen budibahasa, kempen alam
sekitar dan sebagainya harus diberi kepentingan oleh anak-anak muda demi
meningkatkan pembangunan kerohanian masyarakat. Hal ini kerana, kempen-kempen
seperti ini menjadi “batu loncatan” untuk melahirkan masyarakat yang dinamik
dan progresif serta memberi sumbangan kepada negara. Anak-anak muda juga harus
bergiat aktif dalam perkara-perkara yang boleh mengharumkan nama negara seperti
aktiviti sukan. Dengan latihan dan komitmen yang betul, anak-anak muda boleh
mewakili negara di arena sukan antarabangsa dan bersaing kuat demi negara.
Kejayaan yang dicapai akan memartabatkan dan mengharumkan nama negara di
seantero dunia.
Di samping itu, anak-anak muda juga harus mempunyai
semangat patriotisme yang tinggi dan utuh untuk mempertahankan kedaulatan negara.
Mereka harus menyemai semangat cinta akan negara dalam jiwa sanubari mereka
demi mempertahankan negara daripada terjajah. Sejarah telah menunjukkan bahawa
pada tahun 1930-an, anak-anak muda merupakan golongan yang lantang dalam
perjuangan menentang penjajah yang menindas rakyat pribumi negara. Oleh itu,
anak-anak muda harus menjadikan golongan anak muda terdahulu sebagai model
ikutan agar pembangunan negara yang dilaksanakan dapat dipertingkatkan.
Anak-anak muda juga harus mengelakkan diri daripada terjebak dalam gejala
sosial yang boleh meruntuhkan kerajaan demi menyokong pembangunan negara.
Kerajaan dengan kerjasama pihak media harus sentiasa memantau semua pengaruh
yang berunsur budaya kuning kerana penghakisan akhlak dalam kalangan anak-anak
muda berlaku akibat resapan budaya luar yang negatif ke dalam jiwa anak-anak
muda. Maka, tindakan tegas harus diambil untuk mengawal unsur negatif budaya
luar daripada terdedah kepada anak-anak muda negara kita.
Kesimpulannya, anak-anak muda memainkan peranan yang amat
penting dalam pembangunan negara. Anak-anak muda harus lebih prihatin akan
kepentingan pembangunan negara serta segala pengorbanan yang telah dilakukan
untuk membawa negara ke tahap sekarang. Jati diri yang bermutu tinggi dan teguh
berpaksikan aqidah yang mantap harus dipupuk sejak kecil lagi. Bak kata
pepatah,”melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Hal ini adalah
sangat penting kerana keperibadian mereka mencerminkan keperibadian negara pada
masa kini dan pada masa akan datang. “Jika kamu mahu melihat masa depan
sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudinya pada hari ini” begitulah
kata-kata Saidina Ali R. A.
Comments
Post a Comment