KRITIKAN DUNIA HIBURAN
Sejak zaman dahulu kala, hiburan merupakan
satu aspek yang amat penting untuk meluangkan masa dalam kehidupan seharian
seseorang. Manusia sejagat telah mencipta pelbagai permainan tradisional
sebagai hiburan masa senggang. Hiburan dahulu juga termasuk berpantun dan
berseloka yang mempunyai tujuan yang murni iaitu untuk menyampaikan pengajaran,
nasihat dan pedoman. Walaupun sesetengah
hiburan ini masih diamalkan, tetapi kebanyakkan hiburan tradisional sudah tidak
diamalkan lagi. Dunia hiburan telah pun mengalami evolusi sejak zaman dahulu.
Hiburan pada masa kini lebih menjuruskan kepada hiburan dari Barat. Antara
hiburan yang terkenal pada zaman kini adalah filem-filem Hollywood, permainan
video bergrafik tinggi, teknologi-teknologi yang canggih, tarian-tarian seperti
“salsa”, “Waltz”, “Lambada”, “breakdance”, dan sebagainya. Dunia hiburan zaman
kini merangkumi pelbagai jenis hiburan yang luas. Paparan hiburan yang semakin
banyak ini mendatangkan pelbagai kesan positif dan negatif.
Perkembangan
teknologi pada era langit terbuka ini, memudahkan manusia sejagat untuk
berhibur. Kemudahan-kemudahan seperti telefon pintar dan internet mendatangkan
kesan. Media yang dipaparkan tersebut mampu menambahkan kemampuan untuk belajar
dan berkomunikasi dengan cara yang baik.
Namun demikian, terdapat juga hiburan yang mampu merosakkan tingkah laku
kami. Hiburan seperti ini mempengaruhi kehidupan kita ke arah yang negatif.
Hiburan yang tidak mempunyai sebarang nilai murni atau pedoman mampu
mensia-siakan-siakan masa serta merosakkan fikiran seseorang dengan pemikiran
yang negatif. Hal ini, sudah pasti mempunyai impak yang besar terhadap remaja
pada masa kini. Kematangan yang masih berkurangan boleh menyebabkan mereka
terjebak dalam gejala yang kurang sihat.
Selain itu,
kita dapat menggambarkan realiti
kehidupan pada masa kini penuh dengan drama-drama yang dapat mempengaruhi
pemikiran serta tingkah laku kami. Kebanyakkan drama yang ditayangkan ini
mempunyai unsur-unsur ganas, seks, tahyul dan sebagainya. Bahasa yang digunakan
dalam tayangan-tayangan seperti ini mencampur adukkan bahasa Melayu dan
Inggeris. Walaupun perkara ini dianggap sebagai sebuah perkara yang remeh
sahaja, namun hal ini mampu mempengaruhi kita dalam pertuturan harian dan juga
penulisan yang kita lakukan. Hal ini boleh menjejaskan tahap penguasaan bahasa
kita. Ia boleh menyusahkan kita semasa bertutur dan menulis dengan profesional
di tempat kerja ataupun semasa menduduki peperiksaan bagi para pelajar atau
remaja. Kita semua sudah pasti akan terikut bahasa yang dipaparkan oleh
drama-drama kini.
Di samping
itu, dunia hiburan masa kini menggunakan media untuk mempromosikan tayangan
atau isi kandungan masing-masing. Hal ini merupakan satu kelemahan dari segi
hiburan kerana dunia hiburan mampu menipu dan menjadikan apa yang salah serta
jahat kelihatan lucu, betul dan menyeronokkan. Hal ini mampu menyesatkan
seseorang yang tidak peka akan gimik-gimik hiburan. Mereka akan mudah
terpengaruh dan ini akan menjadi suatu masalah yang besar dalam hidup mereka
akibat media yang tidak bertanggungjawab ini. Mereka akan yakin perkara yang
salah menjadi betul. Ia mampu mengubah pandangan seseorang tentang
perkara-perkara serta isu semasa yang sedang berlaku. Mereka akan dipengaruhi
dan mempercayai maklumat yang tidak sahih serta menjadikannya sebagai teladan
untuk diikuti dalam kehidupan.
Kesimpulannya,
dunia hiburan masa kini haruslah lebih prihatin akan apa yang dipaparkan kepada
semua lapisan masyarakat. Sajian hiburan dalam bentuk yang salah akan menghakis
jati diri seseorang sehingga ada yang terlupa akan nilai murni kehidupan. Oleh
sebab itu, dunia hiburan masa kini haruslah lebih prihatin akan isi tayangan
mereka, agar ia boleh mengimpak kehidupan kami secara positif. Anak-anak muda
haruslah bijak memilih hiburan untuk keseronokan agar tidak diracuni kehidupan mereka. Bak
kata pepatah, “disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga.” Mereka juga
harus di ajar sejak kecil lagi agar dapat disemaikan dalam jiwa masing masing
seperti pepatah melayu melentur buluh, biarlah dari rebungnya.
Comments
Post a Comment