Pengalaman di Kolej Matrikulasi Melaka
Pada era globalisasi ini, pendidikan merupakan satu elemen kemajuan yang sangat penting. Di Malaysia, kebanyakkan masyarakat generasi lama hanya berpendidikan sehingga sekolah menengah sahaja. Mereka tidak mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi seperti peringkat kolej atau universiti. Generasi-generasi muda zaman ini, haruslah berusaha secara bersungguh-sungguh kerana peluang untuk melanjutkan pelajaran banyak serta secara tidak langsung masa depan yang lebih cerah boleh dijamin. Oleh yang demikian, saya ingin mengambil kesempatan dalam blog ini untuk menceritakan sedikit sebanyak pengalaman saya di Kolej Matrikulasi Melaka selama 11 bulan sebelum berjaya menjejakkan kaki ke menara gading Universiti Putra Malaysia. Pengalaman belajar di Kolej Matrikulasio Melaka sangat menyeronokkan.
Saya merupakan pelajar program satu tahun dimana ia merupakan satu program yang sangat padat dan deras. Sudah pasti kehidupan di kolej matrikulasi sangat susah, namun jikalau berjaya mengharungi segala cabaran dengan jaya peluang kita untuk mendapat tempat di Universiti awam adalah sangat besar. Kehidupan di kolej matrikulasi sangat susah, tambahan pula ia merupakan kali pertama saya meninggalkan keluarga saya di Perak. Saya tidak mempunyai sebarang pengalaman hidup bersendirian kerana saya datang dari sekolah harian biasa dan bukannya sekolah berasrama penuh seperti kebanyakkan pelajar di kolej Matrikulasi. Segala keperluan harian haruslah diselesaikan sendiri. Tiada lagi ibu bapa di sebelah kita untuk menyediakan makanan harian, membasuh pakaian, mengejutkan kita untuk bersedia ke kelas. Saya telah belajar untuk hidup berdikari di kolej dan hal ini telah menyediakan saya menghadapi kehidupan di universiti Putra Malaysia sekarang.
Selain itu, pengalaman belajar juga amat berbeza berbanding zaman persekolahan kita. Dahulu, sewaktu belajar di sekolah, kesemua pengajaran yang dilakukan oleh guru sangat lengkap kerana ia disuapkan kepada kami. Segala nota disediakan oleh guru, latih tubi disediakan oleh guru. Kita sebagai pelajar hanyalah perlu membaca dan memahami nota tersebut serta melengkap semua kerja rumah yang telah diberikan. Itu sudah memadai untuk SPM. Di Kolej matrikulasi pula pengajaran dilakukan dalam bentuk kuliah. Satu kuliah mempunyai kira-kira 200 orang pelajar dan pensyarah hanya akan menceritakan apa yang penting dalam subjek tersebut. Kita harus mencari nota kita sendiri berdasarkan apa yang pensyarah telah sampaikan sewaktu kuliah. Nota yang dicari haruslah lengkap dan tutorial yang diberikan harus digunakan dengan sepenuhnya kerana latih tubi yang diberikan adalah sangat terhad. Di kolej matrikulasi juga terdapat “assignment-assignment” seperti di Universiti di mana setiap assignment harus dihantar dan markahnya akan ditambah ke penilaian akhir tahun kita. Kita haruslah sentiasa sedia dan rajin belajar untuk berjaya di Matikulasi.
Antara pengalaman yang sangat menarik di kolej matrikulasi adalah kehidupan seharian dengan rakan sekelas dan juga rakan sebilik. Rakan sekelas dan rakan sebilik kami akan kekal bersama kami sepanjang satu tahun menuntut di kolej matrikulasi. Saya sangat rapat dengan rakan-rakan kelas dan sebilik saya. Merekalah insan-insan yang akan sentiasa memberi sokongan, dorongan, bekerjasama, menolong dalam pelajaran dan sebagainya. Kesemua masa kita di kolej matrikulasi akan bersama meraka. Setiap hujung minggu, kita akan keluar membeli barangan keperluan bersama dan mencari keseronokan bersama. Susah senang mereka pasti alukan bersama kita. Bak kata pepatah, “seperti isi dengan kuku”. Disamping itu, terdapat juga pelbagai aktiviti-aktivit yang dianjurkan oleh pihak matrikulasi untuk para pelajar. Aktiviti tersebut sangat menyeronokkan dan membantu diri pelajar membina modal insan yang baik. Aktiviti-aktiviti ini juga mengeratkan hubungan silaturahim sesama pelajar, "seperti aur dengan tebing”.
Secara tuntasnya, pengalaman di kolej matrikulasi sangat menyeronokkan walaupun kehidupan yang dihadapi itu bukan senang. Namun demikian, dengan rakan-rakan yang sentiasa mendorong saya, segalanya boleh diharungi dengan sikap yang positif. Kehidupan di matrikulasi hanya menyediakan kita untuk peringkat seterusnya iaitu kehidupan kita di menara gading nanti. Oleh itu, kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan di kolej matrikulasi supaya masa depan kita lebih cerah. Bak kata pepatah, “Usahatangga kejayaan”.
Comments
Post a Comment