Makanan Tradisional
Malaysia tanah air yang tercinta kami, didiami oleh pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Perpaduan yang dicapai di negara ini amat membanggakan dimana pelbagai lapisan masyarakat mampu hidup bergantung antara satu sama lain, tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Masyarakat Malaysia hidup bagai “aur dengan tebing” serta sentiasa menyokong antara satu sama lain. Bak kata pepatah, “bersatu teguh, bercerai roboh”. Terdapat pelbagai jenis aspek yang menyumbang kepada perpaduan yang teguh ini. Antaranya adalah makanan-makanan tradisional yang terdapat di Malaysia.
Setiap kaum di Malaysia mempunyai makanan tradisional masing-masing. Namun demikian, semua lapisan masyarakat akan menjamu makanan-makanan tradisional kaum-kaum lain. Antara makanan tradisional kaum Melayu ialah nasi lemak. Nasi lemak merupakan salah satu makanan kegemaran sebuah lapisan masyarakat Malaysia terutamanya sebagai sarapan pagi. Nasi lemak dikaitkan dengan penggunanan santan dalam nasi yang serving digunakan oleh masyarakat Melayu. Nasi lemak biasanya dihidangkan dengan telur, timun, ikan bilis goreng dan sambal. Pada era modenisasi ini, ia juga disajikan bersama ayam, daging, sotong, udang dan sebagainya. Selain itu, lemang juga merupakan sejenis makanan tradisi kaum Melayu. Lemang dijual sepanjang tahun, tetapi lebih meluas pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri. Semua orang gemar makan makanan tradisi ini kerana ia merupakan satu hidangan istimewa di Malaysia. Lemang dimakan bersama rendang atau serunding dan diperbuat daripada beras pulut serta santan yang dimasukkan ke dalam ruas buluh yang dilapik dengan daun pisang, sebelum dibakar sehingga masak. Semua masyarakat Malaysia sudi beratur dan membeli kedua-dua makanan kaum Melayu ini.
Di samping itu, masyarakat Cina juga mempunyai makanan tradisional seperti kuih bulan dan kuih bakul yang digemari oleh semua masyarakat Malaysia. Kuih bulan boleh didapat secara meluas sewaktu Perayaan Pertengahan Muslim Luruh. Kuih bulan adalah sejenis pastri bulat atau segi empat tepat yang diperbuat daripada isi biji teratai dikelilingi oleh kerak yang nipis dengan kuning telur masin itik. Kuih tersebut kaya, berat dan tebal berbanding dengan kebanyakkan kuih-kuih barat. Banyak jenis inti boleh dijumpai di kuih bulan tradisional mengikut budaya setempat. Hal ini, merupakan tarikan utama masyarakat Malaysia untuk menikmati kuih bulan. Kuih Bakul pula adalah sejenis kuih kaum Cina versi dodol melayu. Kuih ini diperbuat daripada tepung pulut dan ia paling laris dimakan ketika sambutan Tahun Baru Cina. Kuih ini dipercayai membawa tuah pada masa perayaan Tahun Baru Cina kerana ia melambangkan erti semakin tahun semakin tinggi. Bak kata pepatah, “setahun lagi kehidupan, setingkat lagi kemajuan”. Semua masyarakat gemar memakan kuih-kuih tersebut dan berkongsi kegembiraan ketika menikmati kuih tradisional ini.
Justeru itu, masyarakat India turut mempunyai makanan tradisional seperti roti canai dan murukku yang digemari oleh masyarakat Malaysia. Restoran-Restoran mamak di Malaysia bukan hanya terkenal disebabkan nasi kandar, tetapi juga terkenal disebabkan roti canainya. Masyarakat Malaysia gemar makan roti canai terutamanya pada waktu pagi dan malam bersama segelas teh tarik. Ia merupakan sejenis makanan yang semestinya disukai seluruh rakyat Malaysia. Murukku juga telah mengambil tempat di hati semua masyarakat berbilang bangsa di negara ini. Murukku adalah makanan ringan yang sedap, rangup dan senang dibuat serta murah kosnya. Ia diperbuat daripada acuan khas seperti cara menekan tepung yang telah diuli atau cara pemutarannya. Kuih ini kebanyakkannya boleh didapati pada musim perayaan Deepavali masyarakat kaum India. Seluruh rakyat Malaysia gemar makan kuih tersebut. Terdapat kuih-kuih tradisional lain juga yang terkenal seperti laddu, candi kelapa dan sebagainya.
Secara tuntasnya, terdapat pelbagai jenis makanan tradisional yang terdapat di negara kita. Kesemua makanan tradisional ini sangat unik dengan cara tersendirinya. Masyarakat Malaysia sangat bertuah dapat menikmati pelbagai jenis juadah yang lazat serta unik dalam kehidupan seharian kita. Generasi-generasi muda masa kini harus menghargai budaya serta makanan-makanan tradisional di negara kita. Mereka harus didedahkan dari muda lagi supaya lebih menghargai keunikan negara kita serta makanan-makanan tradisional di negara kita. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Secara tidak langsung, makanan-makanan tradisional ini boleh mengeratkan hubungan silahturahim antara satu sama lain.
Comments
Post a Comment