Agama
Malaysia tanah air yang kami cinta, didiami oleh pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Perpaduan yang dicapai di negara ini amat membanggakan dimana pelbagai lapisan masyarakat mampu hidup bergantung antara satu sama lain, tanpa mengira agama, bangsa dan kaum. Masyarakat Malaysia hidup bagai “aur dengan tebing” serta sentiasa menyokong antara satu sama lain. Bak kata pepatah, “bersatu teguh, bercerai roboh”. Malaysia dikatakan sebuah negara yang sangat unik disebabkan oleh masyarakatnya yang terdiri daripada pelbagai agama seperti agama Islam, Buddha, Hindu, Kristian, dan Sikh. Tiga agama utama di Malaysia yang dianuti oleh masyarakat Malaysia ialah agama Islam, Buddha dan Hindu.
Agama Islam adalah agama yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Adam a.s sehinggalah ke Nabi Muhammad SAW. Perkataan Islam berasal daripada perkataan “salam” bahasa Arab yang bermaksud manusia yang menyerahkan diri kepada tuhan, akan dibalas dengan keamanan dan kesejahteraan. Agama Islam merupakan agama majoriti rakyat Malaysia iaitu kira-kira 60% populasi negara Malaysia. Semua orang Melayu Malaysia beragama Islam menurut undang-undang. Islam merupakan agama rasmi negara Malaysia. Yang Di-Pertuan Agong merupakan Ketua Agama Islam di negara Malaysia. Islam dikatakan telah dibawa oleh pedagang-pedagang asing seperti pedagang Arab serta pedagang India sekitar abad ke-12. Sumber ajaran Islam adalah daripada al-Quran, hadis,ijtihad dan syura. Upacara penyembahan agama Islam berlaku di surau ataupun masjid. Terdapat dua perayaan besar dalam agama Islam yang diraikan di Malaysia iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.
Agama Buddha pula merupakan agama kedua terbesar yang dianuti oleh masyarakat Malaysia. Majoriti penaganut agama Buddha terdiri daripada etnik kaum Cina yang berpegang pada mazhab Buddha Mahayana. Agama Buddha diasaskan oleh Siddharta Gautama. Agama Buddha mengasaskan seruannya kepada cara untuk mendapatkan pengalaman rohani yang tidak dapat dijelaskan. Antara ajaran agama Buddha yang utama adalah menghormati kehidupan, samaada manusia, haiwan atau tumbuh-tumbuhan. Dalam upacara keagamaan Buddha,objek utama yang sangat diuar-uarkan ialah “Tiga Permata” iaitu Buddha, Dharma dan Sangha(Komuniti). Upacara penyembahan dilakukan di tokong atau wat dengan menyembah patung Buddha diikuti dengan bacaan mantra. Hari Wesak merupakan antara perayaan yang disambut oleh penganut agama Buddha.
Agama Hindu pula dianuti oleh sebahagian besar komuniti India di Malaysia. Agama Hindu merupakan agama tertua di dunia. Agama Hindu biasanya dikaitkan dengan masyarakat India kerana kebanyakan masyarakat India di Malaysia adalah beragama Hindu. Dalam agama Hindu, penekanan diberi kepada nilai-nilai moral dan ketaatan kepada ibu bapa yang dikatakan cara untuk mencapai kesempurnaan hidup. Terdapat pelbagai kitab suci untuk agama Hindu seperti Veda, Gi ta, Mahabarata, Yoga dan Ramayana. Kitab Veda merupakan kitab yang diagungkan, malah dianggap sebagai ensiklopedia agama Hindu. Upacara penyembahan dilakukan di Kuil. Kuil merupakan pusat ibadat dan institusi agama Hindu. Antara kuil yang terkenal di Malaysia adalah kuil Murugan di Batu Caves. Penganut agama Hindu mempercayai konsep banyak tuhan. Deepavali merupakan perayaan utama penganut Hindu di Malaysia. Perayaan ini bertemakan penghapusan kejahilan daripada yang jahat. Satu lagi perayaan agama Hindu ialah perayaan Thaipusam.
Perlumbaan Malaysia membenarkan rakyatnya untuk mengamalkan agama masing-masing. Perkara ini tidak membenarkan sebarang aktiviti yang bertentangan dengan keamanan awam, kesihatan awam dan tingkah laku moral awam. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia harus memahami nilai-nilai moral yang terkandung dalam pelbagai agama. Semua agama yang diamalkan di Malaysia memiliki nilai-nilai murni yang mengorak langkah ke arah perpaduan dan kesejahteraan rakyat Malaysia. Penekanan nilai-nilai murni harus diterapkan sejak kecil lagi supaya ia dapat membantu mengawal individu masyarakat bertingkah laku yang baik. Bak kata pepatah,” melentur buluh biarlah dari rebungnya”.
Comments
Post a Comment