Isu Semasa (Corona Virus)



Salam sejahtera dan salam satu Malaysia

 Wahai masyarakat Malaysia sekalian. Entri kali ini adalah untuk memupuk kesedaran tentang wabak penyakit Virus Corona. Blog kali ini akan menceritakan beberapa fakta dan cara pencegahan Virus Corona demi kebaikan semua lapisan masyarakat.

 Pada penghujung tahun 2019, dunia telah digemparkan dengan suatu berita yang mengejutkan seluruh umat manusia iaitu wabak Virus Corona atau juga dikenali sebagai COVID-19. Virus ini didapati berasal daripada wilayah Wuhan di China dan telah merebak ke seluruh dunia. Setiap hari berita menunjukkan bahawa Virus Corona ini semakin menular dengan drastiknya. Virus ini merupakan sejenis virus yang amat sukar untuk dikesan kerana simptom-simptomnya hanya merupakan simptom penyakit biasa seperti selesema, demam, batuk, sakit tekak dan sebagainya. Virus tersebut merebak dalam badan manusia melalui titisan dan mengakibatkan lebih tenat setelah bertransformasi ke penyakit-penyakit seperti radang paru-paru, SARS, MERS, kegagalan ginjal sehingga menyebabkan kematian.

 Secara amnya, individu dari semua peringkat umur berisiko tinggi untuk dijangkiti novel Virus Corona. Oleh yang demikian, kesedaran mula dipupuk dengan drastiknya dalam kalangan masyarakat melalui media cetak, media massa, media elektronik dan juga media-media sosial khususnya untuk generasi muda era langit terbuka ini. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”.

 Terdapat beberapa cara untuk mencegah jangkitan Virus Corona ini yang kini sering kali diuarkan-uarkan dalam media massa. Hal ini kerana, “mencegah lebih baik daripada mengubati”. Antara cara pencegahan adalah kerap membasuh tangan dengan sabun dan air atau “Hand sanitizer”. Elakkan menyentuh muka sekiranya telah menyentuh permukaan yang mungkin tercemar. Selain itu, kita harus mengamalkan kebersihan sistem pernafasan dengan menutup mulut dan hidung menggunakan tisu atau siku semasa batuk atau bersin. Kita juga harus elakkan memakan makanan yang tidak dimasak dengan sempurna atau produk daging mentah. Di samping itu, kita harus elakkan menyentuh haiwan liar seperti burung, kucing atau anjing terbiar. Kita harus mengamalkan gaya hidup yang sihat terutamanya pada masa darurat penyakit Virus Corona ini. Bak kata pepatah, “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”.

 Justeru itu, kerajaan juga telah mengambil langkah-langkah yang tertentu untuk menyebarkan kesedaran dalam kalangan masyarakat. Kerajaan telah menubuhkan beberapa pasukan bertindak Virus Corona untuk memberi pertolongan kepada masyarakat yang diperlukan. Kerajaan telah mengambil tindakan untuk membatalkan beberapa program awam yang bersifat kritikal sebagai langkah pencegahan Virus Corona.

 Ayuhlah masyarakat Malaysia berusaha bersama “bagai aur dengan tebing” untuk mencegah penyebaran Virus Corona ini. Masyarakat harus berganding bahu berusaha untuk membendung wabak penyakit ini menyerang warga negara kita. Bak kata pepatah,” di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”. Jagalah kesihatan dengan sempurna dan “sediakan payung sebelum hujan”.

 “Badan sihat, Otak Cerdas”.

Comments

Popular posts from this blog

KRITIKAN DUNIA HIBURAN

Pengalam membaca buku kreatif (Kapten Hassan Wira Bangsa oleh Harun Johari)

Anak Muda