Pengalaman Mengembara (PENDAKIAN KE PUNCAK GUNUNG BALING)



Salam Sejahtera dan Salam Satu Malaysia

     Tanggal 23 Januari 2020, saya berkesempatan mendaki untuk mendaki Gunung Baling. Gunung Baling ini terletak di Mukim Pulai, Daerah Baling, Kedah. Laluan menuju ke puncak gunung tersebut sejauh 546 meter. Gunung tersebut setinggi 420 meter dari aras laut. Gunung Baling ini sebenarnya terkenal untuk keindahannya sehingga pernah diviralkan di laman Facebook. Gunung ini memang kaya dengan kepelbagaian geologi seperti batu kapur dan batuan-batuan kristal.

             Pada mulanya, pendakian ini hanya sekadar mengisi masa lapang dengan aktiviti untuk mengeluarkan peluh demi menjaga kesihatan diri selain menunaikan resolusi tahun baru. Namun demikian, pengembaran yang dianggap sekadar aktiviti riadah telah mengubah persepsi saya terhadap alam. Bak kata pepatah, “tak kenal, maka tak cinta”.

             Saya bersama 4 rakan sekolah saya dari Taiping, Perak telah menawan Gunung Baling. Kami memulakan perjalanan kami ke puncak Gunung Baling seawal 4.40 pagi. Ia merupakan perancangan awal untuk sampai ke puncak sebelum matahari terbit. Laluan mendaki boleh dibahagikan kepada tiga peringkat. Ketiga-tiga peringkat ini mempunyai tahap cabaran yang berbeza. Peringkat pertama pendakian merupakan tahap yang paling kurang cabarannya. Namun demikian, laluannya tetap licin sehingga ia mengakibatkan kami tergelincir beberapa kali. Kami melalui kawasan bertanah becak dan juga kawasan bertangga. Kami dapat merehatkan kaki buat seketika semasa melalui kawasan bertangga. Laluan tersebut sangat licin dan peringkat ini mengambil masa selama 45 minit.

             Setelah 45 minit mendaki, peringkat kedua gunung tersebut dapat dirasai. Peringkat kedua gunung pula  melalui kawasan hutan yang sederhana dan berbatu. Peringkat ini lebih mencabar berbanding 45 minit pertama yang telah didaki. Tambahan pula pula, semakin jauh kami mendaki semakin curam gunung tersebut ke arah puncak. Dengan keadaan suhu yang dingin, ia miningkatkan kesukaran untuk mendaki. Peringkat ini telah mula menguji kekuatan fizikal dan mental saya. Saya mencari semangat yang tersemai dalam diri untuk meneruskan pendakian demi melihat sendiri keindahan di puncak gunung nanti. Bak kata pepatah, “ genggam bara api, biar sampai menjadi arang”. Semakin tinggi kami mendaki, tahap semakin bahaya laluannya. Laluan tersebut menjadi semakin kecil ke arah puncak dan bilanagn batuan tajam meningkat. Namun demikian kami tetap meneruskan pendakian dengan menjadikan kata orang tua-tua “kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai” sebagai panduan.

             Setelah hampir sejam mendaki menerusi peringkat kedua gunung tersebut, akhirnya, peringkat ketiga dapat di rasai. Fasa ketiga ini, laluannya penuh dengan batuan tajam serta pokok-pokok renek yang menutupi laluan. Hal ini, menyebabkan pendakian kami lebih sukar.Laluan batu ini amat mencabar. Setiap langkah yang diambil perlu berhati-hati. Saya telah jatuh beberapa kali sehingga tangan and kaki luka berdarah. Saya terpaksa mencangkung dan memanjat batu sepanjang pejalanan ke puncak. Kami berlima mendorong dan saling membantu antara satu sama lain sepanjang perjalanan kami  “seperti aur dengan tabing”. Setelah 30 minit mendaki di fasa ketiga, akhirnya kami sampai ke puncak Gunung Baling.

 Pemandangannya sungguh cantik, udaranya begitu segar dan nyaman. Keadaan di puncak gunung tersebut begitu menenangkan hati. Kami sampai ke puncak pada pukul 6.15 pagi dan mampu menyaksikan aksi matahari terbit. Sungguh cantik ciptaan tuhan. Manusia harus menghargai segala ciptaanNya dan berusaha menjaga alam sekitar. Perjalanan kami mengambil masa kira-kira 2 jam. Pengalaman ini sememangnya sangat berharga. Pengalaman ini telah berjaya membuka minda saya serta menghargai alam ciptaanNya.

Comments

Popular posts from this blog

KRITIKAN DUNIA HIBURAN

Pengalam membaca buku kreatif (Kapten Hassan Wira Bangsa oleh Harun Johari)

Anak Muda