Pakaian Tradisional



Malaysia merupakan sebuah negara yang indah dan kaya dengan pelbagai budaya dan sejarah. Masyarakat dari pelbagai latar belakang etnik mempunyai pakaian tradisional berbeza yang mencerminkan adat serta budaya mereka. Malaysia mempunyai pelbagai jenis kain serta pakaian tradisional yang berbagai bentuk dan warna, dari tengkolok bulu burung hinggalah ke kain songket diraja yang cantik. Pada zaman dahulu, penduduk peribumi memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu. Namun begitu, dengan ketibaan era pemodenan, kain tenunan, batik Melayu, kain sutera Cina dan jubah telah pun wujud di negara kita setelah pedagang-pedagang asing mula berniaga dan bermastautin di negara kita. Kini, pakaian tradisional seperti baju kurung, sari, cheongsam boleh didapati secara meluas. Oleh yang demikian, saya ingin berkongsi kepada para pembaca blog saya tentang kepelbagaian dan keindahan pakaian tradisional yang terdapat di Malaysia.

 Setiap kaum atau etnik di Malaysia mempunyai pakaian tradisional masing-masing. Antara pakaian tradisional bagi masyarakat kaum Melayu adalah Baju Kurung dan Baju Melayu. Baju kurung biasanya dipakai oleh golongan wanita dan baju melayu dipakai oleh golongan lelaki. Sebelum abad ke-20, wanita Melayu memakai kemban, kain sarung atau kain panjang yang membaluti seluruh badan. Penerimaan agama Islam telah telah melihatkan peningkatan pemakaian baju Melayu dan baju kurung yang lebih sederhana dan elegan. Baju kurung mempunyai blaus yang berlengan panjang berloceng dan skirt yang panjang hingga ke buku lali dan mempunyai pelisir pada bahagian tepi skirt tersebut untuk memudahkan wanita duduk dan berjalan. Baju Melayu pula terdiri daripada baju lengan panjang yang longgar dipakai dengan seluar serta kain sampin yang diikat di pinggang. Untuk melengkapkan busana, wanita memakai tudung manakala lelaki pula memakai songkok.

 Selain itu, masyarakat Cina di negara kita juga mempunyai pakaian tradisional mereka tersendiri. Seperti juga kaum Melayu, jantina lelaki dan perempuan mempunyai pakaian tradisional masing-masing. Bagi golongan wanita pakaiannya dikenali sebagai Cheongsam. Cheongsam biasanya diperbuat daripada kain sutera atau fabrik yang lembut. Ia merupakan sejenis pakaian yang mempunyai kolar tinggi dengan butang katup dari leher ke bahagian atas dada. Ia adalah pakaian yang mengikut bentuk tubuh dengan belahan setinggi paha sama ada pada satu atau kedua-dua bahagian tepi kain. Cheongsam merupakan pilihan fesyen popular bagi golongan wanita yang moden. Bagi pihak lelaki pula, pakaian tradisional yang mereka pakai dikenali sebagai Samfu. Samfu adalah pakaian dua helai yang terdiri daripada blaus longgar berserta seluar tiga suku atau panjang mencecah buku lali. Pakaian-pakaian tradisional ini seringkali dipakai untuk majlis-majlis meriah dan juga semasa perayaan Tahun Baru Cina.

 Di samping itu, masyarakat India juga seperti kaum-kaum yang lain. Golongan perempuan mempunyai pakaian yang dikenali sebagai Sari. Sari berukuran 4-6 meter panjang dan kira-kira 1 meter lebar. Kain dalam dipakai di bawah Sari dengan blaus yang ketat. Sari dibalut pada seluruh badan sehingga mencapai paras pusat, dengan hujung yang mempunyai sulaman yang menutupi bahu kiri. Lebar Sari mencecah dari pinggang hingga ke lantai dan diikat kemas di pinggang menggunakan tali cerut. Terdapat pelbagai jenis warna yang menarik untuk sari. Salwar Kameez juga merupakan pakaian tradisional wanita India dimana ia merupakan pakaian panjang seperti gaun dengan blaus tanpa lengan yang dipakai bersama seluar dan dipadankan dengan selendang. Bagi golongan lelaki pula, mereka memakai kurta dengan Dhoti ataupun seluar panjang. Kurta ialah baju panjang hingga ke lutut dan biasanya diperbuat daripada kapas.

  Terdapat pelbagai jenis pakaian tradisional selain pakaian tradisional 3 kaum utama di Malaysia seperti pakaian tradisional Nyonya, Baba, Kadazan, Murut, Iban dan ramai lagi etnik di Malaysia. Setiap etnik di Malysia mempunyai pakaian tradisional mereka tersendiri yang sangat unik dan cantik. Pada umumnya, adat resam dan budaya yang telah dibina sejak berabad lama perlu dikekalkan dan dipelihara untuk kesinambungan generasi-generasi yang akan datang. Ia merupakan satu-satunya cara untuk mengekalkan pakaian tradisional yang unik ini untuk terus dipakai dan dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. Generasi muda harus beri kesedaran tentang kepentingan pakaian tradisional sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Mereka harus didorong untuk memakai pakaian-pakaian tradisional supaya perasaan cinta akan pakaian tradisional dapat disemaikan. Bak kata pepatah, “tak kenal maka tak cinta”.

Comments

Popular posts from this blog

KRITIKAN DUNIA HIBURAN

Pengalam membaca buku kreatif (Kapten Hassan Wira Bangsa oleh Harun Johari)

Anak Muda