Seni dan Budaya
Malaysia tanah air yang tercinta kami, merupakan sebuah negara yang unik kerana terdiri daripada pelbagai kaum, bahasa, agama, seni, budaya dan sebagainya. Negara kita dikenali sebagai sebuah negara yang multikultural di mana sifat-sifat kemajmukan dalam aspek kemasyarakatan sangat luas. Konsep ini yang merujuk kepada pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia telah melahirkan pelbagai aktiviti sosial yang berlainan mengikut cara hidup etnik masing-masing. Namun demikian, masyarakat di negara kita turut hidup bergantung antara satu sama lain tanpa mengira agama, bangsa dan kaum, “bagai aur dengan tebing”. Bak kata pepatah, “bersatu teguh, bercerai roboh”. Terdapat pelbagai jenis aspek yang menyumbang kepada perpaduan yang teguh ini. Antaranya adalah kepelbagaian seni dan budaya yang terdapat di Malaysia. Bidang seni dan kebudayaan merupakan dua entiti yang memainkan peranan penting dalam mencapai perpaduan. Cakupan kedua-dua entiti ini berkait rapat dengan ideologi, identiti dan cara hidup seharian masyarakat.
Bidang seni dan kebudayaan ini juga merupakan satu bidang yang dapat mampu membantu pertumbuhan ekonomi negara. Perkembangan semasa ekonomi global menunjukkan industri kreatif adalah satu sumber penting pertumbuhan ekonomi. Ia berpotensi menjana ekonomi berpendapatan tinggi dalam arena antarabangsa hanya kerana kekayaan seni dan kebudayaan yang unik di Malaysia di samping memartabatkan budaya bangsa. Pelbagai jenis warisan kesenian yang meliputi muzik, alat muzik, tarian, kraftangan,permainan tradisional, seni bina dan sebagainya harus dipelihara demi negara. Warisan seni dan budaya amat berharga dan mampu meningkatkan pendapatan negara yang boleh meringankan beban kerajaan Malaysia untuk menstabilkan kegawatan ekonomi yang berlaku. Bak kata pepatah, “dimana ada kemahuan, di situ ada jalan”.
Selain itu, aktiviti-aktiviti kesenian dan kebudayaan ini juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk sahsiah dan jati diri masyarakat. Kepentingan aktiviti-aktiviti ini harus didedahkan bermula daripada bangku persekolahan seseorang lagi. Hal ini kerana, penglibatan pelajar atau murid dalam bidang ini mampu memberi kesan positif ke atas perkembangan diri serta kemajuan akademik murid tersebut. Oleh yang demikian, generasi muda zaman kini harus didedahkan dari awal lagi supaya seni dan kebudayaan dapat dipelihara secara turun-temurun. Bak kata pepatah, “ melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Di samping itu, seni dan kebudayaan dapat meningkatkan kecergasan fizikal masyarakat. Hal ini dibuktikan melalui aktiviti permainan tradisional yang melibatkan banyak pergerakan yang ringkas tetapi memberi impak senaman . Pergerakan fizikal ini mampu menyihatkan tubuh badan.
Seni dan kebudayaan merupakan warisan bangsa negara ini. Namun demikian, ia semakin dilupakan oleh remaja kita akibat arus pembangunan yang drastik. Langkah-langkah tertentu harus diambil untuk memelihara warisan bangsa seni dan kebudayaan kita. Langkah awal harus diambil adalah dengan melibatkan penggunaan kempen kesedaran yang efektif. Pihak media massa haruslah menyiarkan kempen ini dengan menggunakan tokoh-tokoh budaya sebagai jurucakap kempen tersebut bersama maklumat-maklumat yang lengkap tentang seni dan kebudayaan. Tambahan pula, seni dan kebudayaan negara kita boleh diteruskan dengan pengawalan budaya asing ke negara ini. Kerajaan dengan kerjasama pihak media harus sentiasa memantau semua program yang berunsur budaya kuning kerana penghakisan kebudayaan warisan negara ini berlaku akibat resapan budaya luar ke dalam jiwa para remaja.Maka, tindakan tegas harus diambil untuk mengawal unsur budaya luar daripada terdedah ke masyarakat negara kita.
Kesimpulannya, bidang seni dan kebudayaan memainkan peranan yang sangat penting di negara kita. Oleh itu, usaha mengekalkan warisan kesenian pelbagai kaum di Malysia merupakan tanggungjawab semua rakyat di negara ini. Masyarakat Malysia telah mewarisi pelbagai jenis kesenian dan kebudayaan. Pewaris budaya bangsa pada masa depan adalah golongan generasi era pascaglobalisasi masa kini. Kegagalan untuk memelihara warisan kesenian dan kebudayaan negara kita boleh menyebabkan imej negara serta masyarakat musnah. Bak kata pepatah, “tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan”. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya seni dan budaya dalam hidup kita.
Comments
Post a Comment