Pengalaman Berkhemah di Pulau Tuba



Salam sejahtera dan salam satu Malaysia. Pada entri kali ini, saya ingin menceritakan pengalaman saya berkhemah di Pulau Tuba, Langkawi, Kedah. Perkhemahan ini merupakan perkhemahan peringkat kebangsaan anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia. Saya telah mewakili negeri Perak bersama 20 orang rakan saya dari sekitar negeri Perak. Perkhemahan ini dijalankan selama 5 hari dan 4 malam di sekitar Pulau tersebut. Perkhemahan ini sungguh menyeronokkan kerana ini merupakan perkhemahan pertama yang saya sertai dimana perkhemahannya berlaku dalam sebuah hutan rimba. Hal ini bermakna pengalaman yang saya timba ini merupakan pengalaman yang sungguh unik disebabkan aktiviti-aktiviti yang telah dianjurkan dalam perkhemahan ini.

 Semua peserta perkhemahan tersebut telah berkumpul di jeti Kuala Perlis pada pukul 12.30 tengah hari pada suatu hari Isnin. Peserta-peserta telah menaiki bas dari negeri masing-masing untuk sampai ke Kuala Perlis. Tepat pukul 1 petang, kami telah menaiki sebuah feri ke Pulau Tuba yang terletak kira-kira 1 jam 30 minit dari jeti Kuala Perlis.  Setelah sampai di Pulau Tuba, kami telah menaiki sebuah lori tentera untuk ke tapak perkhemahan. Keadaan di tapak perkhemahan ini betul-betul telah memeranjatkan saya. Tiada kemudahan yang selesa disediakan di sini. Kesemua kemudahan dibina menggunakan kayu dan dahan-dahan pokok. Kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang mempunyai peserta dari kesemua negeri. Saya amat bertuah kerana turut mendapat rakan dari negeri Perak dalam kumpulan aku itu. Setelah diberi taklimat kami semua telah pun mengambil pakaian masing-masing dan meletakkannya ke dalam beg pengembaraan askar kami yang diberi itu. Kami hanya dibenarkan untuk membawa beg tersebut sepanjang perkhemahan ini.

 Kami pun telah beredar ke lokasi tempat perkhemahan kumpulan kami untuk hari pertama. Dalam perkhemahan ini, kami akan bertukar lokasi perkhemahan kami setiap hari. Kami telah berkhemah di 4 lokasi yang cantik di sekitar Pulau Tuba ini. Setiap hari kami telah merentasi pelbagai jenis geografi yang unik seperti bukit, gunung, tasik, sawah, lumpur dan sebagainya. Sepanjang pengembaraan kami itu, kami hanya dibenarkan berjalan sahaja. Tiada pengangkutan disediakan walau apa jua keadaan pun. Pengembaraan bertukar tapak perkhemahan sungguh meletihkan, namun demikian kami telah berushaha melakukannya dan menikmati setiap detik keseronokan sepanjang pengembaraan kami. Bak kata pepatah, “dimana ada kemahuan, disitu ada jalan”. Kami juga dikehendaki memasak sendiri menggunakan api tanpa gas. Kami menggunakan ranting-ranting dan kayu untuk membina api untuk memasak.

 Selain itu, kami juga telah berjaya melakukan pelbagai aktiviti lasak dan menyeronokkan. Antara aktiviti yang saya sangat suka adalah pengembaraan hutan di awal pagi sebelum matahari terbit. Aktiviti ini sungguh menakutkan dan lasak. Hal ini kerana kami memulakan pengembaraan melalui hutan pada pukul 3.30pagi dimana keadaan sekeliling kami sangat gelap-gelita. Rakan kami didepan semasa merentasi hutan dan gunung pun tidak dapat dilihat. Di samping itu, kami juga telah melakukan aktiviti-aktiviti seperti kayak, berenang merentasi tasik, berlayar di laut, membina tempat beteduh dan sebagainya. Kesemua aktiviti ini sangat menyeronokkan dan juga telah mengajar kami untuk bertahan lasak dalam apa jua keadaan sekalipun. Kami juga telah menyalakan unggun api setiap malam dan mengadakan banyak persembahan, nyanyian, dan tarian sesama kami.

 Akhirnya, setelah 5 hari berkhemah di beberapa tapak perkhemahan sekitar Pulau Tuba, tibalah hari untuk kami semua pulang. Saya sangat letih terutamanya pada hari terakhir perkhemahan tersebut, setelah melakukan aktiviti-aktiviti yang lasak berturut-turut selama 5 hari. Hal ini telah mengingatkan saya betapa pentingnya menjaga tubuh badan dan kesihatan kita. Tubuh badan dan kesihatan yang sihat, mampu membantu kita mengharungi apa jua cabaran dalam hidup. Hal ini perlu disemaikan dalam jiwa anak-anak muda sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Perkhemahan ini telah mengubah pandangan saya terhadap kehidupan. Ia merupakan pengalaman yang sangat berharga dan penting dalam hidup saya.

Comments

Popular posts from this blog

KRITIKAN DUNIA HIBURAN

Pengalam membaca buku kreatif (Kapten Hassan Wira Bangsa oleh Harun Johari)

Anak Muda